Powered by Blogger.

Surat untuk Kita, dan Surat untuk Kamu.


Ah, tiba-tiba terkenangkan zaman sekolah dulu. Mentah sangat benak fikiran masa tu. Hati spontan bermonolog,”Ceh, macam la sekarang kau dah matang”.

Tiap kali berfikir, ada saja dua pihak dalam diri. Satu jahat, satu baik. Tiap kali membuat keputusan, ada yang ragu ada yang tekad. Sering berlawan. Tiap kali membuat sesuatu tindakan, ada yang betulnya ada yang salahnya. Dua dalam satu badan, bukannya dual-personality, tapi fitrah kebaikan manusia sejak ilahi melawan pihak syaitan yang bergabung dengan nafsu. Siapa menang? Bergantung kepada iman, kalau wa yazid (meningkat), menanglah. Kalau wa yankuz (menurun), nauzubillah.



Semua ORANG BIASA ada, bukan aku seorang. Kagum dengan orang yang sangat-sangat berprinsip pada yang satu. Sukar digoyahkan. Mungkin masih belum matang, tetapi paling tidak aku sudah membaiki beberapa perkara dalam hidup. Biar pun ia sedikit, bukannya ‘lemah sedia ada’ dijadikan alasan, tetapi dibaiki dan ditingkatkan. Biarlah ambil masa pun, biarlah sampai mati pun, biarlah kawan-kawan mengatakan apa sekali pun, kerana Allah Maha Melihat usaha hamba-hambaNya. Allah ghayatuna, Allah matlamatku. InshaAllah.



Surat | Untuk Kamu


Bukanlah menceritakan jahilliyah semata-mata untuk dihiburkan,tetapi buka hati supaya ini diambil sebagai pengajaran tak kan berulang pada aku dia keluarga kawan-kawan dan siapa-siapa. Dinoda bermacam-macam dugaan, kaki tidur, kaki panjat tembok, kaki ponteng kelas Pendidikan Jasmani (sahaja), kaki bola, kaki solat gajah, dan kaki prep petang. Ketika itu yang paling diimpikan adalah cemerlang dalam akademik. Akademik diutamakan agama sikit-sikit diamalkan. Masih tidak sedar, engkau itu seorang islam. Manakan tidak sedar, islam warisan dalam diri, ‘integrated’ tanpa disedari, tidak ditekankan oleh orang sekeliling apatah diri sendiri.


Silap aku juga, tidak sedar siapa diri. Orang malu bertanya sesat jalan. Orang-orang atasan sangat baik, melayan anak-anak di sana dengan bermacam-macam kursus supaya keputusun kelak hebat. Hebat itu kemudian distatistikkan dan dibandingkan dengan tempat-tempat lain lalu dibanggakan. Bagusnya sistem ini membuatkan pelajar-pelajarnya lebih bersemangat. Tetapi dalam masa yang sama, wujudlah, rasa pandai dan bodoh dikalangan otak dan kotak hati kami kerana statistic-statistik pengukuran kecemerlangan itu. Yang pandai dikatakan ‘engkau hebat’, yang bodoh diketepikan tanpa sedar. Jika sedar pun, mereka memencilkan potensi dalam diri yang tidak diketahui tanpa orang lain mengetahui. Pengurus apatah lagi bangganya.


Masih tidak terasa bangga, bangga sebagai seorang islam. Setakat ini, Cuma bangga sebagai orang melayu yang pandai akademiknya. Jasa-jasa pihak penyumbang ke arah kecemerlangan pelajar dihargai. Cuma, satu yang ketinggalan. Bila islam itu disedarkan dalam diri? Hampir tiada. Cuma, solat hajat sebagai persediaan menghadapi peperiksaan dan yasin tiap malam khamis. Bila aku mengatakan ‘Cuma’, tidak bermaksud langsung perkara-perkata tadi adalah salah. Sila faham elok-elok. Kemudian, minta ampun restu doa daripada ibu ayah sambil menangisi kesalahan durhaka selama ini. Alhamdulillah. Cuma, satu sahaja yang ketinggalan. Di mana letak islam dalam hidup? Solat hajat sahaja? Bacaan yasin sahaja?


Malam yang tidak dilupakan. Langkah-langkah awal diaturkan. Sunyi, memerhati, mengirim, mengirim dan mengirim lagi. Kesunyian dalam hati membuatkan aku mengirimkan surat pertama pada dia. Haa, tidak bertepuk sebelah tangan rupanya, ada bunyi tepukan tangan esoknya. Dia balas pula dengan surat baru daripada dia. Wah, cubaan bermain perasaan semakin hangat lalu berterusan…sehinggalah dia keluar daripada asrama. Bukan surat lagi, surat bertukar teknologi menjadi telefon, posmen setia bertukar menjadi maxis. Celcom kadang-kadang sahaja.


Tidak terasa kredit sering di tambah-tambah. Hanya merasakan yang ia tidak apa-apa kerana hanya untuk dia. Hati redha, hati berkata inshaAllah dia teman hidupku kerana aku menginginkannya. Kun fayakun, jadilah. Aku berharap padaNya sebegitu. Aku langsung terima dengan hati terbuka, bersyukur kerana dia mengingati agama. Alhamdulillah, dia mengingatkan aku. Sedikit demi sedikit. Betullah kata orang tua, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Sedikit demi sedikit, aku aku hairankan sesuatu.



Surat | Untuk Kita




Perpindahan dia disusuli aku kerana aku telah tamat di tempat pengajian itu. Syukur dalam kecewa. Aku yang bersyukur kerana mendapat keputusan yang baik bagiku. Kecewa bagi pihak atasan, kerana mereka berharap supaya aku dapat memecah rekod. Aku minta maaf. Aku gembira dengan keputusan itu kerana aku merelakannya, mungkin usaha sendiri tidak seberapa untuk pecahkan rekod itu. Jika berjaya, mungkin aku sudah isi boring melanjutkan pelajaran ke Jepun. Mungkin. Best kot.



Tidak apalah, mungkin ada hikmahNya. Satu hari, aku berterus terang pada dia. Aku tidak dapat meneruskan perhubungan yang sudah tercipta hampir 4 tahun. Kerana apa? Pertanyaan dia sangat-sangat kaget untuk aku jawabkan, aku tidak tahu bagaimana mahu menerangkan. Justeru, aku langsung tidak benarkan si posmen maxis masuk ke dalam pintu rumah hati. Sebenarnya, aku dapat surat yang baru.



Surat baru daripada Dia.


Aku baru mengenalinya di tempat baru ini. Maafkan aku andai engkau cemburu. Marahmu langsung tidak membawa mudarat fizikal padaku.

Tetapi andai Dia marah, seluruh fizikal, deria rasa, batin, fikiran terseksa dengan api yang 69 kali ganda daripada api dunia. Aku tidak sanggup. Api yang akan menelan manusia-manusia yang menjalinkan hubungan bukan dengan nikah, bukan dengan cara halal.


Walaupun hati sahaja yang merindui sesaat, dan jika sesaat itu Dia ambil nyawaku…Allahu akbar, nauzubillah! Jari yang menaip ‘I miss u’, tangan yang menghulurkan surat, kaki yang membawa tangan, itu semua telah direkod dan akan ditayangkan di akhirat untuk dibicarakan. Tayangan itu percuma bagi semua manusia, tayangan akan dibatalkan dengan tiket taubat. Aku mengharapkan begitu padaNya.

Aku bersimpati dengan diri sendiri, dan juga dia. Aku yang memulakan, aku yang menamatkan hubungan yang indah tetapi tidak halal itu. Aku cuba memahamkan dia, kenapa aku bertindak sebegitu. Apakan daya, ia mengambil masa yang agak lama.

Entah kenapa aku mahu memahamkan dia bersungguh-sungguh.

Simpati?

Kasihan?

Bersalah?

Masih punyai perasaan tetapi tidak mahu dengan cara yang haram?

Wallahu ‘alam. Apa-apa perasaan pun, biarlah yang salah dibetulkan. Jiwa ini lemah, aku tidak mahu dapatkan tiket taubat seorang diri. Aku mengajakmu untuk dapatkan tiket itu bersama, dengan cara yang lebih berbatas. Aku juga cuba mengajak sahabat-sahabat lain supaya bersama. Selepas tiket, beberapa barang keperluan lain diperlukan.

Makanan-makanan halal dan baik untuk perut,

makanan cap sunnah santapan rohani,

zikir-zikir dan kata-kata yang mengajak kepadaNya sebagai minuman mulut,

dan solat 5 waktu tepat pada waktu dilaksanakan berjemaah di surau dan dapat membanteras maksiat sebagai persediaan paling mustahak.

"Pantang larangnya senang, apa yang dilarangNya berpantanglah."


Jangan biar camera penjaga disebelah kirimu merakam adegan-adegan kemaksiatan. Maksiat ynag bermaksud, apa-apa pantang telah dilanggar. Apa-apa suruhan ditinggalkan. Berdua-duaan tanpa muhrim, melambatkan solat dengan sengaja, itu termasuk. Tapi bukan itu sahaja lingkungan maksiat. Kemudian, pastikan yang baik-baik sahaja dirakam. Kadang-kadang, beberapa pantang aku bedal begitu saja. Astagfirullah, maafkan aku ya Allah. Cara-cara untuk dapatkan tiket taubat, barang-barang keperluan, pantang larang, azab seksa dan bermacam-macam lagi telah ditulis di dalam surat dariNya. Surat itu perlu disebarkan. Al-Quran.


Aku masih cuba menyampaikan isi-isi surat dari Dia kepada dia dan semua. Aku perlu baca dengan hemat dan betul, fahamkan isi-isi surat itu dengan betul, amalkan pula dengan niat yang betul, kemudian sampaikan pada manusia-manusia lain. Surat untuk kita telah lama ada! Ya Allah, kenapa aku leka buat beberapa lama. Aku berterima kasih sebesar-besarnya pada manusia yang menyampaikan surat Dia kepadaku. Cuma, aku tidak tahu sampai sekarang..sama ada dia, mahu bersama melakukan perkara yang sama denganku. Andai dia mahu, akukan bantu. Andai dia sedang, memang itu yang aku mahu supaya aku dapat membaiki hubungan yang lama, dengan yang baru. Haram, akan menjadi halal. Bukankah itu membaiki?





akubudakkampung  – (February 6, 2011 at 2:44 AM)  

=]

yeah.. hitam vs putih akan menghasilkan gambar yg cukup bermakna dan nostalgik..

jadi jgn bimbang kalau gambar xde kaler..

haha...xde kaitan..

Post a Comment

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP