Powered by Blogger.

...kawan-kawanku.. ^_^ ...

..ingin saya kongsikan artikel ini buat renungan dan peringatan..agar diri tidak
tersasar daripada matlamatnya...sebagai PERINGATAN.

..selamat membaca sambil menghayati dengan mata hati..

"Ikuti diskusi seorang remaja matrikulasi dengan seorang pensyarah dalam
mengupas persoalan yang amat releven dengan situasi kita sebagai remaja
yang hakikatnya masih mentah,jahil dan perlu dibimbing dalam menghadapi
jaringan perangkap dan tipudaya syaitan laknatullah. Semoga risalah ini
bermanfaat kepada kita semua"


Kami tidak berzina!


Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina


Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya
khabar,minum-minum…adakah itu menghampiri zina?


Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.


Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.


Hari ini,ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan
bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak
tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya
amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa.
Jangan pula lupa. Siapalah kita berbanding Adam dan Hawa? Ia ada lebih
1001 cara. Ingat pesanan Rasullullah : Janganlah engkau bersendirian dangan
seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan(Tabrani). Syaitan akan
menghembus perasaan berahi, Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis


Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan.
Ada orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka
pun!


Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina.
Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora.
Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada
suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.
Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa
kepada penzinaan akhirnya?


Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina juga ke?


Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya,ada zina betul,ada zina
tangan( berpegang-pegangan),ada zina mata(melihat kekasihnya dengan
perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi
dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah:
Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kakinya
juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan).
Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (Muslim dan Abu Daud)

Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan
biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang
boleh membawa kepada penzinaan.


Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!


Berdiskusi pelajaran,betul ke?Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit
dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang
sekalipun,kalau tak diberkati Allah,kejayaan tidak akan membawa
kebahagiaan.

Hidup tidak bahagia,akhirat lebihlah lagi. Jangan berselindung disebalik
pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar
hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah
berdiskusi macam ini akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?


Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.


Study group…?nampak macam lain macam saja. Manja,senyum memanjang,tak
macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-mana pun berdua.
Kalau ye pun,carilah study group ramai-ramai sedikit. Kalau duduk
berdua-dua macam ini..betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang
pelajaran,yang lain tu banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!


Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran..


Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan apa-apa?Awak
kurang sihat ke? Ingat,kita bukan malaikat,tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan
nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu,ada keinginan. Itulah manusia.


Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan
motivasi..


Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah
kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis.
Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih
tenang perasaan,tidak terganggu,dapat berkat dan rahmat pula.


Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk
bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?


Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri
ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah.
Kalau naluri tidak wujud pada diri seseorang,tak normal namanya. Islam
bukan datang untuk membunuh naluri dan keinginan itu. Tidak!Islam tidak suruh
membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan
nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan
berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma
tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang
sihat pada nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita
sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri nafsu.


Tentu ada cinta secara Islam..


Cinta secara Islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah
ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang
bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita,Islam. Apabila
Islam melarang sesuatu perkara,tentulah ia digantikan dengan sesuatu yang
lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan wanita sebelum
kahwin,ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih baik iaitu
perkahwinan. Sabda Rasulullah:

Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali
nikah (Ibni Majah)

Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia


Kalau begitu,cinta semua menghampiri kepada penzinaan?


Ya kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik.
Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat,rindu. Kemudian aturkan pertemuan.
Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian
berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab,dah berani
pegang tangan,duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan,sekarang macam pengantin
baru. Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan?Penghujung
jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang
bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan.
Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa
noda daripada seekor nyamuk sekalipun!


Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai
berzina. Kami tahan diuji.


Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia.
Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya diri menjauhi
perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.


Jadi manusia itu tak tahan diuji?


Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa,sejak awal penciptaan
manusia,Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan
ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar
manusia.

Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah Khuldi dalam syurga.
Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu Allah
berpesan pada Adam dan Hawa,jangan hampiri pokok Khuldi. Firman Allah:

Wahai Adam!Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah
dari makanannya sepuas-puasnya,apa sahaja yang kamu berdua sukai dan
jangan hampiri pokok ini,(Jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu
dari orang-orang yang zalim (Al-A’araf:ayat 19)

Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu
sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang ditegah,takut
nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat mengawal diri.
Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke arah penzinaan juga
dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan,kedua-duanya
kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita
Adam dan Hawa.


Tetapi cinta lepas kawin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan
kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan
sebelum membuat keputusan sebelum berkahwin.


Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan
lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon
dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan pelbagai lagi.
Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada
yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kawin bila merajuk ada yang
memujuk.

Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa
bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta,dia
seorang yang amat penyayang,penyabar,sabar tunggu pasangan terlambat
berjam-jam. Tapi bila dah kahwin,lewat 5 minit dah kena tengking.
Jadi,perwatakan masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah
suatu kepuraan yang hipokrit.


Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti..


Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan
adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan
bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan
menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan
mencapainya tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga
mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan cinta sebegini.
Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin.
Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya
pun sudah canggung. Bagaimana kesudahannya?


Tanya sikit…adik angkat,kakak angkat,abang angkat boleh ke? ganti
bercinta..


Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang diberi
nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik,abang,kakak angkat
adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat
dalam budaya “angkat” ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan.
Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.


Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?


Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh PENCIPTA
manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk
bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah
dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri,tidak mahu terlibat dengan
cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak
bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima
cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak ditentukan oleh ALLAH.


Adakah orang yang bercinta hilang maruah?


Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta
seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang menghampiri
penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak
berkahwin kecuali dengan orangyang pernah berzina juga. Mereka tidak layak
untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman:

Lelaki yang berzina(lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan
perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina
itu pula(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki
yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian terlarang
kepada orang-orang yang beriman.(Surah an-Nur: Ayat 3)

Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan
orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari
Tuhan.


Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang
pernah bercinta juga?


Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang baik adalah
untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.


Kami telah berjanji untuk sehidup semati..


Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang
musnah?

Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang
keemasan sahaja. Habis madu,sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia
sering berulang sehingga menjadi pepatah.


Jadi perempuan yang bercinta jatuh maruahnya pada pandangan
lelaki?


Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang ‘second hand’
sedangkan barang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan
seperti kereta di show room; display only. Tapi ada yang boleh test drive.
Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goring dan segelas air sirap
bandung,bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.


Masihkan ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?


Ya,masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa ada
walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada
pasangannya. Firman Allah:

Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang
perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada
melakukan zina)…Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan
pahala yang besar(Al-Ahzab: ayat 35)


Bagaimana kami?


Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta
mohon keampunan dariMya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat
redhaNya.


Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha


Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3
syarat:

1. tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak
diredhai Allah ini

2. menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus
diri dalam percintaan

3. berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan
sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya
adalah setelah ijap Kabul


Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini.
Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Berilah
kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan
kepadaku perasaaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak
yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jagaku sedari kecil dengan
kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku kepada orang lain. Oh Tuhan, hambamu
yang berdosa…


Amin, Ya Rabb. Moga Allah terima taubatmu.


Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh tidak kemana.


Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang kepintu-Mu mencari redha-Mu.
Terimalah taubat mereka


syukran..
_________________
katakanlah: Cukuplah bagiku Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang Besar. [At-Taubah:129]


~"tanamkanlah cintaku kpdMu Ya Allah dan Muhammad S.A.W lebih dr segalanya (iaini keduniaan)"~

~ "BERUSAHALAH"~

Post a Comment

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP